Khamis, Mei 2, 2024
IKLAN METROShopee SaleShopee Sale

Top 5 Minggu Ini

IKLAN METROShopee Sale

Artikel Berkaitan

Zuhdi ajak pemimpin Islam bersatu hadapi kesan solidariti M’sia pada Palestin


Shopee Sale

Seorang ahli Jawatankuasa PAS Pusat hari ini menggesa pemimpin Islam di negara ini menjadikan isu pembelaan terhadap Palestin sebagai titik pertemuan untuk mereka duduk semeja dan berdiri sepentas mencari persamaan.

Kata Mohd Zuhdi Marsuki kemelut yang berlaku di Timur Tengah itu memerlukan mereka bersama-sama menongkah cabaran getir yang bakal dihadapi Malaysia ekoran pendirian jelas dibuat kerajaan.

Menurut Mohd Zuhdi, keadaan itu tidak sepatutnya dijadikan peluang untuk diambil kesempatan oleh pihak lain, sebaliknya mencetuskan detik "kiambang bertaut."

Tidak ketinggalan memuji Anwar Ibrahim dalam isu Palestin dan mengakui "tidak menyangka" perdana menteri memiliki keberanian sebegitu, Mohd Zuhdi berkata sikap ditunjukkan itu akan membawa kesan yang berbeza berbanding sebelum ini.

"Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak dapat dinafikan bersuara lantang dalam membela saudara seislam di Palestin.

“Saya sendiri tidak menyangka Datuk Seri Anwar Ibrahim berani keluar dari playsafe (langkah politik selamat) setelah beliau melihat kekejaman terhadap rakyat Palestin semakin memuncak.

"Suara lantang beliau sebagai perdana menteri sudah tentu kesannya jauh berbeza berbanding kedudukan beliau sebelum ini hanya sebagai pemimpin sebuah organisasi sivil dan pemimpin sebuah parti politik.

"Reaksi kuasa besar terhadap Malaysia kesan daripada suara lantang Datuk Seri Anwar seperti boleh dijangka, bahkan sudahpun dirasai kini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahathir, Najib dah pernah

Ia menyusul beberapa hari selepas anak salah seorang pemimpin kanan PAS, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, disatukan dengan isteri dan anak-anaknya yang sebelum ini berada di Gaza.

Nadir sendiri menganggap usaha menerbangkan keluarganya itu dari Gaza ke Malaysia adalah suatu "misi gila" dan watak utama di sebalik kejayaannya ialah Anwar.

Untuk rekod Nadir merupakan aktivis kemanusiaan yang banyak membantu menyalur dan mengagihkan bantuan kepada penduduk Gaza. Dia juga watak utama kepada NGO Cinta Gaza Malaysia.

Mohd Zuhdi berkata sebelum ini sudah ada berlaku kerjasama PAS dan kerajaan di sebalik pertembungan sengit di medan politik di antara kedua-dua parti.

Memberikan contoh, Mohd Zuhdi berkata Dr Mahathir Mohamad - yang ketika itu menjadi perdana menteri - boleh bersama Presiden PAS Fadzil Noor - untuk menyuarakan sikap negara mengenai isu Palestin pada 8 Mei 2002.

MENARIK:  Projek rumah harga RM300,000 ke bawah paling banyak terbengkalai

Pertemuan itu, katanya, berlaku ketika pertembungan Umno dan PAS memuncak ekoran insiden Al-Maunah dua tahun sebelumnya.

"Demikian juga pada akhir tahun 2017, ketika umat Islam di Malaysia bersolidariti menentang keras usaha negara Israel memindahkan ibu kota mereka ke Baitulmaqdis, dua tokoh utama PAS dan UMNO, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Najib Razak mengorak langkah untuk duduk sepentas bersama menentang usaha Israel tersebut.

"Meskipun pada tarikh yang ditetapkan 22 Disember 2017 Tuan Guru Abdul Hadi tidak dapat hadir pada saat akhir, himpunan solidariti umat Islam Malaysia menentang usaha Israel itu berlangsung dengan penuh bersemangat," katanya.

Tambah Mohd Zuhdi, ia menunjukkan pembelaan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin menjadi "simpulan yang kuat" untuk membawa umat Islam bersatu.

Sama ada disedari atau tidak, tambahnya, kesan kempen boikot oleh umat Islam kepada jenama perniagaan tertentu yang terkait dengan Israel boleh mengundang reaksi balas kapitalis-kapitalis Barat yang kebanyakannya menyokong rejim berkenaan.

Secara jujur, kata bekas setiausaha politik kepada Menteri Air dan Alam Sekitar kerajaan PN itu, dia melihat situasi hari ini sangat memerlukan kesemua pemimpin umat Islam di Malaysia bersatu bagi mendepani "cabaran getir" yang bakal dihadapi.

"Sekiranya semasa zaman Perdana penteri keempat (Mahathir) dan perdana menteri keenam (Najib) boleh berlaku, mengapa pada zaman perdana menteri kesepuluh tidak boleh?" katanya.

Anisha Rani
Anisha Ranihttps://metroharian.com
Wanita itu sama seperti bunga. Mereka harus diperlakukan dengan lembut, baik dan penuh kasih sayang.

Paling Popular